Wednesday, August 21, 2013

Bilik;


Kau sedang berdiri di bilik ini. Bilik yang sama ketika dia sedang terlantar di ruang sakit sana. Bilik ini pernah dia singgah untuk melelapkan matanya sambil terbaring lena disebelah kau. Bilik ini, bilik yang selalu kau ceritakan pada mereka betapa rindunya kau pada moment yang pernah kau dan dia jalin bersama.

Saat ini. Malam raya. Ketika kau sedang bersila menghadap kiblat dengan rupa yang sugul, datang sang malaikat dengan kepak yang besar hinggap di bahu kanan kau. Ia terlalu samar-samar hingga kelibat sang malaikat tidak jelas, Cuma apa yang dapat kau rasa, hanyalah kesan berat dan beban di bahu kanan kau itu.

Suaranya parau. Nyaring, membunuh setiap tiub dan segala saraf yang ada dalam telinga kau. Kata sang malaikat, jangan buang masa. Mari terbang bersama aku merentas langit pergi menuju dia di sana. Kau tersenyum. Kata kau, pergilah kamu dahulu. Kirimkan salam sayang saya padanya. Mungkin sekarang ini bukan masa yang sesuai.

Dalam keadaan yang janggal dan masih terpinga-pinga, kau berkata-kata seolah segalanya nampak mudah. Hingga kau sendiri tidak sedar yang kau sedang bercakap dengan sang malaikat yang baru saja hinggap di bahu kanan kau. Sang malaikat terus mengibas kepaknya dan terbang ke langit bersama doa yang kau tulis menggunakan air mata.

Ternyata usaha sang malaikat sia-sia. Awal-awal lagi kepaknya sudah dirantai. Kau tidak akan melepaskan sang malaikat. Ini takdir kau, mana mungkin sang malaikat yang datang bertenggek di bahu kau pada masa waktu kau sedang menghadap kiblat akan berlaku lagi. Kau bukanya bodoh. Kau dengan kudrat yang ada melibas pisau cukur yang entah dari mana tersorok dicelah kaki meja di hadapan kau tepat di kepak kanan sang malaikat. Sang malaikat mengelupur.

Apa yang kau mahu hanyalah kepak itu, supaya kau sendiri yang terbang keseorangan menuju dia yang sudah lama kau rindu. 


No comments: