Monday, February 14, 2011

Perginya Kasih, Datangnya Rindu


Engkau rindu mak kau tak? Soal kawan saya. Saya diam, dalam fikiran saya penuh dengan kekesalan sepanjang hayat. Kalaulah tuhan beri saya kuasa, nak saja saya hidupkan arwah kembali. Mengganjak masa supaya tidak pernah ke saat itu, saat yang membunuh kewarasan otak saya. Saya pernah salahkan tuhan, kerana mengambil mak secepat itu. Kenapa pada ketika itu? Kenapa tidak di lain masa? Dimana saya benar-benar telah bersedia.

Saya ingat, dulu mak selalu marah-marah, pukul, cubit saya. Mak menjalankan tugasnya sebagai ibu dengan baik, begitulah caranya – cara yang buat saya terkenang-kenangkan dia sampai bila-bila. Semakin saya mula dewasa, mak sudah jarang-jarang marah, pukul apatah lagi mencubit saya. Mungkin dia sedar yang tanggungjawabnya sebagai ibu sudah tamat. Matapelajaran kemanusiaan yang diajar sudah habis silibusnya. Mungkin jugak mak rasa, dia sudah tua untuk anak-anaknya.

Mesti kau rindu dia kan! Jawap kawan saya. Hati saya ketika itu seperti dihiris, kelopak mata saya bertakung air. Saya dilamun rindu yang amat sangat.

Bila mak semakin tua, keperibadiannya turut tua. Mak sekarang cukup sensitif, jiwanya gemar sangat terluka. Ada ketika saya ternampak mak mengelap air matanya yang entah dari mana datang puncanya. Nak saja saya bertanya – tapi biarlah mak monolog seorang diri, saya tidak mahu menikam jiwanya lagi.

Hati saya terhiris saat ini – saya dibelenggu rasa bersalah terhadap kelancangan saya satu ketika. Tak terampun rasanya dosa saya, diatas perbuatan yang saya sendiri tidak sedar seberapa banyak tertanam bersamanya di liang lahat sana. Kita anak-anak kadang kala tidak sedar dan tidak pernah ambil runsing tentang soal hati perasaan orang tua kita. Mungkin kerana kita sudah besar dewasa, bukan budak hingusan lagi. Sudah ada hidup sendiri – mampu cari duit sendiri. Dosa pahala kita tanggung sendiri, tidak lagi mereka. Kita suka memberontak, nak tunjuk pandai. Tidak mahu terikat dengan pemikiran konservatif mereka – terlalu otodok kata kita. Tanda protes tentang kepimpinan mereka. Cuba kita duduk dan berfikir seketika, tidakkah lahirnya kita didunia ini disebabkan oleh penyatuan orang tua kita yang berfikiran kolot itu.

Semasa 18 umur saya, waktu ini saya sudah tidak berada dirumah lagi. Hidup saya kini berbakti pada ilmu. Ketika di kolej matrikulasi dulu saya jarang-jarang pulang kerumah. Dan bila saya di Universiti keadaan makin menjadi-jadi. Saya lebih gemar bersama kawan di asrama. Seronok rasanya duduk di kuala yang berlumpur ini – fikir saya. Jika pulang pun, sekejap-sekejap; semacam melepas batuk ditangga. Pada waktu itu jugaklah persahabatan saya dengan mak tidak serapat dulu. Jika sepatah yang ditanya, sepatah la jawapannya – saya tidak tahu kenapa. Mungkin ini fitrahnya, jika kita sudah makin dewasa atau fakta anak lelaki tidak rapat dengan ibu jika menjelang akhil baligh umurnya – saya keliru.

Mak meninggalkan kami tujuh adik beradik dan suaminya ketika umur saya 23 tahun. Waktu itu saya menganggur, hidup saya naif dan porak peranda. Tidak sempat rasanya mak melihat saya berjaya menjadi seorang insan. Tapi saya tahu mak tidak suka saya beronggeng berdansar. Tidak mengapa, itu pilihan saya. Pasti mak merestuinya jua – harap mak faham naluri saya di sana.

Sudah lama rasanya mak menderita penyakit tiga serangkai – darah tinggi, kencing manis, buah pinggang. Mak selalu mengadu sakit-sakit lutut, diminta simpati anak-anak mengurut betis kurus kakinya. Saya tahu mak sengsara, badannya kini lemah-lemah, kulitnya makin kendur; tampak unzur dimatanya. Hidup mak kini bertemankan insulin, mak perlu mengambilnya untuk menormalkan kadar gula. Sebak saya melihat mak menyucuk jarum suntik kedalam badan kurusnya – saya tahu mak menahan sakit. Mak menderita Insulin dependent diabetes mellitus. Kata orang, mereka yang mengidap Diabetes selalunya mempunyai betis yang agak kecil dan kurus.

Abah kata mak degil. Mak tidak suka berpantang larang. Tidak mengawal pemakanannya, makan saja apa yang disukainya. Itulah mak saya. Mak mengajar kami tentang nikmat air tangan masakannya – hingga kini terasa-rasa hingga terbawa dalam lena. Itulah pekara yang saya bawa buat pedoman, menjadi tuang dapur sehebatnya. Ingat lagi saya satu ketika semasa kami sekeluarga hidup kais pagi makan pagi. Mak hanya mengaul nasi putih, ikan goreng dan sambal belacan – digaulnya dengan kicap nasi itu, disuapnya kami anak beranak sebelum ke sekolah. Nikmatnya Ya Allah, hingga hari ini terasa.


abah, kak wati dan arwah di dataran Putrajaya


Saya tidak puas hidup bersamanya, mungkin tuhan lebih sayangi mak dan mahu mak bahagia bersama Penciptanya disana. Banyak yang saya mahu kongsi dengannya cerita, pahit duka, tipu dusta sepanjang hidup saya menjadi perantau di bumi tuhan ini.

Waktu mak menghembus nafasnya yang terakhir, saya tidak berada disisinya. Ketika itu saya di Alor Setar menolong kawan dalam kesusahan. Saya mendapat tahu melalui panggilan telefon; kata kakak – mak sudah tiada, mak pergi meninggalkan kita. Jantung saya berhenti, saya meraung dalam hati. Dunia saya kelam dan kosong.

Hospital besar Sg. Petani. Semasa saya tinggalkan mak petang itu, saya ada berborak-borak kosong dengannya. Memicit-micit betis keringnya. Mak petang itu nampak sihat.“ Hang balik tak kenduri nanti ?” kata mak pada saya.“Balik mak, abang pi sat saja.” Jawap saya. “ Besok balik la.” Itu kata akhir saya. Kata-kata mak petang itu membunuh semua saraf saya, saya jadi lemah tidak bermaya. Dalam hati saya ada pisau yang menyucuk-nyucuk luka. Dalam jiwa saya ada lubang yang gelap gelita.Dunia saya musnah. Kenapa tuhan? Sampai hati kau mengambil nyawanya.

Malam itu saya nampak abah bersandar tepi dinding. Dia pura-pura tabah – saya tahu. Abah peluk saya, hujan air mata terusan mengalir. Dalam samar-samar, adik lelaki saya sedang menangis menutup mukanya. Kakak saya dari tadi mundar-mandir bersama derita. Badan saya mengiggil, muka saya pucat bila melihat jenazah diusung keluar wad. Saya kelu. Apa yang ada bersama saya ketika itu hanyalah perasaan ralat dan serba salah yang tidak dapat ditebus dengan nyawa – saya tidak dapat bersama mak ketika dia menghembuskan nafas terakhirnya. Besar sungguh ujian kau tuhan, tak terdaya saya memikulnya. Mengalir air mata darah sekalipun tidak akan menghidupkan mak kembali. Saya ini anak yang derhaka – getus hati saya saat itu.

Sudah empat tahun mak meninggalkan saya. Saya benar-benar rindukan dia. Maaf mak, kadang kala saya terlupa menghulurkan Al-Fatihah buat bekalan mak disana. Saya tahu, saya ini anaknya tidak soleh. Tapi saya akan cuba membahagiakan mak, supaya mak tidak menangis lagi disana. Kini saya faham dan makin jelas, ajal ialah pintu bagi suatu kehidupan lain dan disana bermulalah kerajaan sejahtera kekal abadi terjalin.

Saya rindu amat pada mak. Teramat rindu. Mak amat sayangkan anak-anaknya. Tapi saya, banyak sakitkan hati mak – amat banyak. Maafkan saya, mak. Kini ada batu nisan di pusara mak. Tulisnya:
Hajah Minah Bt. Hashim
25. 05. 2007


4 comments:

SUHAIB DAUD said...

sedayyhhh lah...al-fatihah

Unknown said...

hmm.. mcm tu la fitrah kita manusia.. selalu abaikan apa yg ada.. bila dah takde dpn mata, baru nak teringat2.. buat pengajaran pada aku, kamu & semua.

RASHID A.K.A ACID said...

al-fatihah doakn roh nya ditempatkn di tempat org2 yg beriman...terharu & tersentuh membacanya...dpt merasainya dgn mendalam tabahkn hati ya..kita hanya mampu mendoakn nya utk kesejahteraanya..mmg sedey..!!

Anonymous said...

kuatkan iaman,tabahkan jiwa....sentiasa iringi dgn doa agak berbahagia sentiasa hendak-Nya...Amin...