Wednesday, August 21, 2013

Bilik;


Kau sedang berdiri di bilik ini. Bilik yang sama ketika dia sedang terlantar di ruang sakit sana. Bilik ini pernah dia singgah untuk melelapkan matanya sambil terbaring lena disebelah kau. Bilik ini, bilik yang selalu kau ceritakan pada mereka betapa rindunya kau pada moment yang pernah kau dan dia jalin bersama.

Saat ini. Malam raya. Ketika kau sedang bersila menghadap kiblat dengan rupa yang sugul, datang sang malaikat dengan kepak yang besar hinggap di bahu kanan kau. Ia terlalu samar-samar hingga kelibat sang malaikat tidak jelas, Cuma apa yang dapat kau rasa, hanyalah kesan berat dan beban di bahu kanan kau itu.

Suaranya parau. Nyaring, membunuh setiap tiub dan segala saraf yang ada dalam telinga kau. Kata sang malaikat, jangan buang masa. Mari terbang bersama aku merentas langit pergi menuju dia di sana. Kau tersenyum. Kata kau, pergilah kamu dahulu. Kirimkan salam sayang saya padanya. Mungkin sekarang ini bukan masa yang sesuai.

Dalam keadaan yang janggal dan masih terpinga-pinga, kau berkata-kata seolah segalanya nampak mudah. Hingga kau sendiri tidak sedar yang kau sedang bercakap dengan sang malaikat yang baru saja hinggap di bahu kanan kau. Sang malaikat terus mengibas kepaknya dan terbang ke langit bersama doa yang kau tulis menggunakan air mata.

Ternyata usaha sang malaikat sia-sia. Awal-awal lagi kepaknya sudah dirantai. Kau tidak akan melepaskan sang malaikat. Ini takdir kau, mana mungkin sang malaikat yang datang bertenggek di bahu kau pada masa waktu kau sedang menghadap kiblat akan berlaku lagi. Kau bukanya bodoh. Kau dengan kudrat yang ada melibas pisau cukur yang entah dari mana tersorok dicelah kaki meja di hadapan kau tepat di kepak kanan sang malaikat. Sang malaikat mengelupur.

Apa yang kau mahu hanyalah kepak itu, supaya kau sendiri yang terbang keseorangan menuju dia yang sudah lama kau rindu. 


Tuesday, August 20, 2013

Hari Kemenangan;


Langit gelap. Lebaran malam hari.

Sebelum langit terbelah dan awan hitam jatuh menghempap kepala. Engkau sedang bersembunyi dicelah serombongan malaikat yang turun ke darat dari rekahan langit dengan kepak mereka yang berwarna-warna menyilaukan mata. 

Tiada lampu kelip-kelip dan pelita minyak tanah. Malam lebaran itu sangat gelap, yang tinggal hanya cahaya dari kepak malaikat yang warna-warnanya menurut mereka sangat cocok dipakai di pagi raya.

Segala isi langit bertaburan, menimbun manusia pendosa. Orang-orang berkumpul di bawah percikan cahaya yang keluar dari kepak malaikat dengan duduk bertinggung. Wajah mereka oval, kurus dan berwarna hitam. Dari lubang-lubang wajah, mereka nampak resah. Mereka terkumat-kamit dan memandang langit yang lohong lalu bercerita tentang kisah dewa-dewi, setan-setan dan jin-jin. Salah seorang dari mereka menjerit, "Hai pendosa, kami rela mati dihempap langit gelap dari berzina."

Tiba-tiba mereka diam, menelan suara mereka bersama timbunan langit runtuh. Di bawah terpaan cahaya, sambil bertepuk tangan, engkau berdiri dan bersyukur pada tuhan. Engkau terdengar suara-suara roket, teriakan dan nyanyian takbir. Engkau sedar bahawa hari itu adalah hari kemenangan sekaligus Hari Raya AidilFitri. 


Thursday, July 11, 2013

Ramadhan Kareem;


Genderang ditabuh dan trompet-trompet ditiup. Ramadhan Kareem datang dengan jenazah di tengah simpang.

Mereka secara tidak sengaja menemukan jasadnya di jalanan dan mereka menemukannya terlentang telanjang dengan zakar terpacak lurus ke langit. Mereka percaya ini semua hasil kerja tangan syaitan sebelum dirantai maha pencipta tuhan mereka.

Malam ini malam Ramadhan dan alam pun diam, menatapnya dengan angin malam tidak bertiup seolah mengutuk kematian pada malam suci. Seorang pendosa telah membunuh diri dan bertelanjang bulat sama seperti waktu dilahirkan ibunya.

Ketelanjangannya merupakan sebuah dosa meskipun dia telah dua hari mati terlantar di simpang sebelum genderang ditabuh dan trompet-trompet ditiup. Langit terbelah dengan segala isi bumi disedut dan mereka masih lagi merenung jasadnya seolah dia hanya pendosa keji yang masih tinggal.